AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.6 juta ke Singapura di Jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi awal pagi semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, rampasan dibuat kira-kira jam 6.46 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia yang mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan di kawasan jeti berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa sebanyak 113 kotak polistirena yang mengandungi benih udang kara dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Siasatan awal mendapati, benih udang kara berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit bagi tujuan penghantaran ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Najib, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.68 juta membabitkan benih udang kara, sebuah bot gentian kaca dan sebuah enjin sangkut berkuasa 150 kuasa kuda.
“Benih udang kara adalah sumber perikanan yang mempunyai nilai komersial tinggi dan permintaan yang besar di pasaran antara bangsa.
“Aktiviti penyeludupan seperti ini bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan usaha pemuliharaan serta kelestarian sumber marin negara,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985 kerana mengimport atau mengeksport ikan hidup tanpa permit yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah di laut diminta menghubungi Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili di talian 07-891 6595 untuk tindakan segera,” katanya.






