
DAP mempertaruhkan calon Melayu, Nor Zulaila Abd Ghani, 38, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengumuman calon yang mesra dipanggil Lily itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam majlis pengumuman calon DAP bagi kerusi N40 Tiram dan N42 Johor Jaya di Pusat Komuniti Harapan, Plentong, di Johor Bahru hari ini. Yang turut hadir Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Timbalannya, Wong Shu Qi.

Nor Zulaila merupakan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sejak 2018 dan mempunyai lebih 12 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, pembangunan komuniti serta pentadbiran kerajaan.
Anak jati Lenga, Muar itu pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Bangi, Pengurus Penyelaras DUN Semenyih serta Pembantu Ahli Parlimen Serdang.
Beliau kini berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Timbalan Menteri Kewangan.
DUN N40 Tiram sebelum dibubarkan ditadbir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Azizul Bachok.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Johor, Lee Wern Yiing diumumkan sebagai calon parti itu untuk DUN N42 Johor Jaya.

Dalam ucapannya, Nor Zulaila merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili PH di DUN Tiram.
“Saya mahu membawa suara rakyat serta memastikan polisi dan dasar yang baik dapat kembali memberi manfaat kepada mereka selain melakukan perubahan yang lebih baik.
“Saya juga menyeru seluruh jentera PH supaya berkempen secara berhemah dengan menawarkan harapan serta politik matang yang tidak memecahbelahkan kaum,” katanya.
Sementara itu, Wern Yiing, 30, menyifatkan pencalonannya sebagai satu amanah besar dan berjanji akan meneruskan khidmat serta legasi penyandang DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Menurutnya, pengalaman selama lapan tahun berkhidmat bersama Cai Tung akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu penduduk dan menyuarakan isu rakyat di kawasan berkenaan.






