BEKAS Ketua Bernama Radio Allahyarham Azlan Idris diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada majlis kemuncak sambutan hari ini.
Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isteri Allahyarham, Wan Syahrina Wan Abdul Rahman dan disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta barisan pengurusan tertinggi syarikat media tempatan.
Azlan, 57, yang meninggal dunia pada 15 Januari, antara tonggak utama kecemerlangan Bernama Radio sejak penubuhannya pada 2007 serta pernah mencurah bakti dalam industri penyiaran tanah air di TV3, NTV7 dan Channel 9.
Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran empat edisi sambutan HAWANA menerusi komitmen dan dedikasi yang tinggi sejak dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Majlis Kemuncak HAWANA bermula 2022.
Sementara itu, Wan Syahrina yang juga Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV ketika ditemui menyifatkan Anugerah Khas HAWANA 2026 sebagai pengiktirafan yang sangat besar, bermakna dan bernilai tinggi buat Allahyarham suaminya.
”Program HAWANA sangat dekat dengan Allahyarham, beliau mengetuai jawatankuasa sambutan Majlis Kemuncak HAWANA sejak edisi kedua.
“Saya sebagai isteri sangat tahu kalau Allahyarham buat persediaan Majlis Kemuncak HAWANA, habis sahaja majlis tahun ini, beliau sudah mula memikirkan perancangan untuk tahun depan,” katanya.
Wan Syahrina berkata anugerah itu bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah menjadi memori sangat berharga kepada anak-anak untuk mengingati bapa mereka yang bukan sahaja seorang individu yang baik, tetapi juga pengamal media yang diiktiraf dalam industri itu.
Beliau berkata, kerjaya kewartawanan dan media sememangnya sangat dekat di hati Allahyarham selepas berhijrah daripada bidang perbankan ke TV3, kira-kira 40 tahun lepas.
Majlis kemuncak HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.






