TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima penyerahan rasmi Sistem Persenjataan FN MAG 58M 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M semalam sebagai usaha memperkukuh keupayaan operasi Combat Search and Rescue (CSAR) serta meningkatkan tahap perlindungan aset dan anggota dalam misi menyelamat berisiko tinggi.
Kementerian Pertahanan melalui Facebook memaklumkan, perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pemerkasaan keupayaan TUDM di bawah Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).
‘’Integrasi sistem persenjataan tersebut pada platform EC 725 AP/H225M dijangka meningkatkan keberkesanan operasi, khususnya dalam melaksanakan misi CSAR di kawasan ancaman selain menyokong pelbagai tugas lain termasuk bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal dan operasi khas,’’ kata kementerian itu.

Menurut kenyataan tersebut, sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan, proses Final Acceptance Test (FAT) telah dijalankan di Pangkalan Udara Kuantan dan Pangkalan Udara Labuan melibatkan No. 10 Skuadron dan No. 5 Skuadron bagi memastikan sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Airbus Helicopters, Axel de Pascal kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.






