MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap siasatan kes dua anggota tentera maut ketika latihan membaling bom tangan di Kem Hobart Gurun pada Selasa lalu diselesaikan segera.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan menyeluruh dan terperinci perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti punca kejadian dan sebarang kelemahan yang boleh diperbaiki.
“Bom tangan ini bila dicabut dalam masa tujuh saat mesti dibaling. Apa silap di situ kena siasat. Apakah mereka yang terlibat itu darah gemuruh ke apa, itu sebabnya kita kena siasat.
“Saya tak nak buat andaian, kita siasat dulu apabila siasatan itu kita lihat mana ada kelemahan, kita akan tambah baik. Jadi, saya harap (siasatan) dapat disegerakan,” katanya lapor Buletin TV3.
Beliau berkata demikikan ketika menghadiri Program Pengisian Minyak Percuma Untuk Motorsikal di BHPetrol Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) sudah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua latihan melibatkan penggunaan bom tangan sehingga siasatan selesai.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu mengucapkan takziah buat keluarga kedua-dua anggota yang meninggal dunia dalam insiden itu.
Pada 16 Jun lalu, Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi mendapatkan rawatan.






