PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan ahli politik populis yang gemar menonjolkan diri di media sosial.
Baginda sebaliknya mahu rakyat menilai seseorang pemimpin berdasarkan kemampuan melaksanakan tanggungjawab dan membawa manfaat kepada rakyat.
“Sebagai ahli politik, mereka terpaksa menguar-uarkan dalam media sosial untuk memastikan ada ‘engagement‘ dengan rakyat dan awak nampak mereka punya kerja keras. Itu saya faham.
“Jadi sebelum membuat apa-apa keputusan, buat penilaian dahulu. Pasal kita ini banyak ‘Hollywood.’ Paling ‘Hollywood’ sekali yang dekat Muar.
“So, saya tak suka dengan ‘Hollywood.’ Saya suka orang yang melaksanakan tugas. Yang boleh memperbaiki hidup rakyat,’ titah baginda ketika sesi Podcast Bual Santai Petang bersama Orang Muda Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Muar kelmarin, lapor Harian Metro.
Tunku Mahkota Johor bertitah demikian ketika ditanya seorang anak muda sama ada golongan itu perlu memilih kepimpinan yang popular di media sosial atau yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
Baginda turut mendedahkan mempunyai pengalaman bekerja dengan pihak yang langsung tidak pandai membuat kerja, sebaliknya hanya pandai mencari isu dan salah pihak lain.
“Untuk mencari isu, mencari salah dan menjadi pembangkang memang senang, tetapi apabila diberi kerusi untuk mentadbir, bukan semua orang mampu mentadbir. Rakyat Johor perlu bijak membuat penilaian,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut mendedahkan sumbangan terbesar kepada Bangsa Johor adalah dari keluarga diraja Johor yang membelanjakan lebih RM100 juta setahun.
Ia termasuk sumbangan kepada hospital, bantuan pendidikan, bantuan kepada golongan memerlukan, bekalan makanan serta tajaan menunaikan ibadah haji.
“Tetapi awak tidak nampak kami menguar-uarkan dalam media sosial kerana perbuatan itu dilakukan dengan ikhlas,” titah baginda.






