KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkemungkinan akan dibubarkan dalam tempoh tiga bulan lagi bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut beliau, berdasarkan situasi politik sekarang, Melaka tidak menolak kemungkinan akan menyusul untuk mengadakan PRN menjelang September ini, sejurus selesai PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Tempoh habis penggal DUN Melaka hanya berakhir pada hujung tahun ini dan dalam tempoh berkenaan, pembubaran boleh dilakukan pada bila-bila masa.
“Justeru, sebelum sampai waktunya (pembubaran DUN), kita akan terus menjalankan urusan kerajaan negeri dan menyantuni rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh.
Melaka mengadakan PRN pada November 2021 selepas berlaku krisis politik apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri kehilangan majoriti dan membawa kepada pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober 2021.
Keputusan PRN itu menyaksikan BN memperoleh kemenangan besar apabila memenangi 21 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga, diikuti Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) meraih dua kerusi.
Ab Rauf berkata, PRN Melaka tetap perlu diadakan tahun ini kerana ia adalah proses demokrasi yang ditetapkan mengikut tempoh penggal pentadbiran semasa.
Susulan itu katanya, kerajaan negeri ketika ini memberi tumpuan kepada pentadbiran serta pembangunan negeri sebelum memasuki tempoh pilihan raya penghujung tahun ini.
“Tarikh akhir kita (penggal ini) adalah pada hujung Disember dan sudah pasti ia (PRN) akan diadakan sebelum tarikh itu,” katanya.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum berkata, tempoh penggal DUN Melaka dijadual tamat 27 Disember ini dan pilihan raya negeri perlu diadakan selewat-lewatnya dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.
“Bagaimanapun keputusan untuk membubarkan DUN lebih awal atau menunggu sehingga tamat tempoh adalah tertakluk sepenuhnya kepada Ketua Menteri dan segala faktor sudah tentu akan diambil kira sekiranya pembubaran dewan dibuat lebih awal daripada tarikh tamat penggal,” katanya.





