PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan supaya tiada pihak membuat gambaran tidak tepat dengan mendakwa kerajaan negeri Johor gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.
Baginda bertitah, pentadbiran negeri sentiasa dipantau secara dekat bagi memastikan setiap dasar, projek dan arahan benar-benar dilaksanakan, bukan sekadar diumumkan.
“Jangan datang sini cakap benda bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dilayan dengan baik ataupun kerajaan yang mentadbir tidak membuat kerja.
“Saya monitor kerajaan saya. Saya pastikan kerajaan ini buat kerja,” titah baginda dalam satu sesi bersama rakyat Johor hari ini.
Baginda bertitah, tahap pemantauan terhadap pentadbiran negeri dilakukan secara serius, termasuk mendapatkan penjelasan terus daripada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
“Kalau tidak buat kerja, awak boleh tanya Datuk Menteri Besar, boleh tanya Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Sampai kadang-kadang jam 3 pagi pun saya telefon dan tanya, kenapa benda ini belum siap?” titah baginda.
Baginda turut menegaskan Johor tidak memerlukan politik yang hanya dipenuhi janji, teori dan lakonan, sebaliknya kepimpinan yang mampu melaksanakan keputusan serta memberikan hasil nyata kepada rakyat.
“Saya tidak suka janji ataupun cakap dongeng. Saya suka melaksanakan. Apabila ada visi, mesti kita laksanakan. Visi tanpa pelaksanaan hanyalah satu halusinasi,” titah baginda.
Kenyataan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri Johor tidak bekerja atau gagal menjaga kebajikan rakyat, sedangkan banyak kelewatan pembangunan turut berpunca daripada proses kelulusan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, rakyat perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan fakta, prestasi, kemampuan turun padang dan hasil yang berjaya dilaksanakan.
Baginda turut mengingatkan mencari kesalahan dan membuat janji ketika menjadi pembangkang adalah mudah, namun tidak semua pihak mempunyai keupayaan untuk mentadbir apabila diberikan amanah.
“Untuk cari isu, cari salah dan menjadi pembangkang memang senang. Tetapi apabila sudah dapat kerusi untuk mentadbir, tidak semua orang boleh mentadbir,” titah baginda.






