
KETIKA Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah bersiap sedia untuk ‘bertempur’ dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan membuka gelanggang pada Sabtu ini dengan proses penamaan calon, Perikatan Nasional (PN) dilihat masih mencari kesepakatan.
Selepas malam tadi menyaksikan PN menerima penyertaan dua anggota baru iaitu Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan parti Pejuang, hari ini pula rundingan kerusi antara parti komponen gabungan itu setakat ini hanya melepasi tahap 50 peratus.
Ketua Penerangan PN Tan Sri Annuar Musa berkata, gabungan itu belum memuktamadkan agihan kerusi bagi pilihan raya tersebut susulan terdapat beberapa pertindihan tuntutan kerusi antara parti komponennya.
Bercakap kepada wartawan di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur, Annuar berkata, rundingan yang berlangsung hari ini berjaya menyelesaikan sebahagian besar agihan kerusi, namun beberapa kerusi yang menjadi pertindihan masih memerlukan perbincangan lanjut.
“Kita duduk berbincang dan setiap parti membentangkan senarai kerusi yang mereka sasarkan. Ada beberapa kerusi yang tidak berlaku pertindihan dan perkara itu telah selesai. Yang ada pertindihan itu kita setuju untuk bincang esok pada pukul 10 pagi, kita balik hitung tengok macam mana untuk nak selesaikan,” katanya.
Bagaimanapun menurut beliau mesyuarat hari ini tidak melibatkan parti Pejuang dan Wawasan.
‘’Kita jangka akan memuktamadkan rundingan agihan kerusi menjelang Khamis sebelum dibawa ke mesyuarat induk untuk pengesahan, ‘’ kata Annuar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan Pejuang dan Wawasan turut mengemukakan senarai calon.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata kedua-dua parti berkenaan menyatakan cadangan untuk bertanding di kerusi DUN idaman mereka.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dipertimbangkan terlebih dahulu dalam proses rundingan yang bakal diputuskan pucuk pimpinan tertinggi PN.
“Yalah, kita kemuka list (senarai) masing-masinglah. Depa (mereka) pun ada kemuka list depa, kita rundinglah. Dia bagi list kerusi yang dia orang teringinlah. Yang diinginkan. Jadi rundinglah. Tugas saya berunding sahaja. Keputusan akhir akan dibuat oleh PN,” katanya.
Apapun, PN akan melangkah masuk ke gelanggang PRN buat kali pertama dałam keadaan Pas telah memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, namun Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan kekal dalam PN walaupun terpaksa duduk dalam satu gabungan bersama parti WAWASAN yang dipimpin oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat oleh Bersatu.
Sebelum ini Bersatu dikatakan menentang kemasukan WAWASAN ke dalam PN sehingga Pas membuat keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Keadaan itu menimbulkan persoalan apakah bentuk gerakan kempen PN. Apakah Pas hanya akan bersama WAWASAN, Pejuang Gerakan dan MIPP? Manakala Bersatu akan berkempen bersama Pejuang, Gerakan dan MIPP?
Segalanya akan terjawab pada Khamis ini dan pada Sabtu pula pengundi akan melihat apa bentuk kempen PN apabila proses penamaan calon selesai dan kempen bermula.
Terdahulu, beberapa pemimpin kanan parti komponen gabungan itu menghadiri mesyuarat tersebut, termasuk Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Turut kelihatan ialah Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; serta Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S. Punithan.
Selain itu Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turut hadir.






