KEPUTUSAN Perikatan Nasional (PN) menerima Parti Wawasan Negara atau sebelum ini dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM) ternyata menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada parti Bersatu yang mendakwa permohonannya tidak teratur dan boleh menambah masalah dalaman gabungan berkenaan.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata bantahan dibuat kerana PN masih berdepan masalah sesama parti anggota selepas Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu selain mendakwa permohonan PCM menyertai PN tidak teratur.
“Penerimaan parti baharu yang dipimpin bekas ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, permohonan PCM menyertai PN tidak teratur dengan menyatakannya dibuat atas nama Datuk Saifuddin Abdullah atas kapasiti Setiausaha Agung PCM.
Katanya, semakan Bersatu mendapati Setiausaha Agung terkini parti itu bagi penggal 2026-2027 ialah Yeo Kwee Kwang.
Beliau berkata, maklumat barisan kepimpinan dikemukakan pula merujuk kepada Wawasan, sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.
“Maklumat barisan kepimpinan dikemukakan ialah Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat oleh Parti Cinta Malaysia. Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Menggunakan nama parti tidak diluluskan JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan.
Faizal turut membangkitkan surat JPPM bertarikh 22 Jun yang memaklumkan beberapa dokumen dikemukakan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyudin Hassan tidak lengkap dan tidak bertandatangan.
Katanya, JPPM meminta PN mengemukakan beberapa maklumat dalam tempoh tujuh hari selaras Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
Beliau berkata, wakil Bersatu membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN malam tadi dan berpendirian mesyuarat berkenaan perlu ditangguhkan.
Namun, katanya mesyuarat tetap diteruskan dan tindakan itu ‘berkemungkinan bertentangan’ dengan kehendak JPPM supaya urusan pentadbiran serta pengurusan parti dilaksanakan mengikut Perlembagaan PN, Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan berkuat kuasa.
SEMENTARA itu, ketika mengulas rungutan Bersatu itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor keputusan menerima kemasukan Wawasan dibuat secara undian dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu, semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas bantahan Bersatu terhadap kemasukan parti berkenaan kerana perkara itu sudah diputuskan di peringkat tertinggi gabungan.
“Itu saya tak nak ulas. Bukan locus standi saya untuk jawab sebab sudah diputuskan dalam mesyuarat MT PN dengan undian majoriti.
“Saya tak mahu jawab apa-apa. Itu terserah kepada pandangan Bersatu. Saya buat mesyuarat pembahagian kerusi PN sahaja, semua ok,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi menghadapi PRN Johor di Pejabat Agung PAS.






