TUJUH individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang menyebabkan dua lelaki parah dan tidak sedarkan diri di Jalan Gapam, Jasin semalam.
Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 29 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Jasin dan Melaka Tengah susulan laporan yang dibuat oleh bapa salah seorang mangsa.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bersama Cawangan D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjalankan operasi tangkapan semalam.
Katanya, tangkapan dibuat antara jam 3 petang hingga 6.50 petang di beberapa lokasi termasuk di Taman Seri Krubung, Taman Semabok Perdana dan Bemban.
“Hasil operasi berjaya menahan enam lelaki dan seorang wanita Melayu yang dipercayai terlibat dalam kes yang sedang disiasat. Hasil soal siasat awal mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama seorang lagi individu yang masih bebas dan dikenali sebagai Alif,” katanya kenyataan hari ini.

Lee berkata, semua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Jasin untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.
‘’ Dua daripada suspek termasuk wanita yang bekerja sebagai penyambut tetamu hotel, masing-masing mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah. Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek mendapati mereka negatif dadah.
“Semua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Jasin dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Menurutnya, menerusi tangkapan yang dijalankan, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes termasuk lima telefon bimbit pelbagai jenama, beberapa helai pakaian, kasut, selipar dan sebatang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian itu.






