SEORANG pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook pada Februari 2025.
Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Raden Mohamad Norhakim, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini serta telefon bimbit yang digunakan dalam kesalahan tersebut dilucut hak kepada kerajaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik menggunakan akaun Facebook Raden Mohamad Norhakim di sebuah kondominium berhampiran Lorong Lapangan Terbang di Kuching kira-kira jam 7.27 pagi, pada 12 Februari 2025.
Kandungan hantaran itu didakwa mengandungi kenyataan yang menuduh Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di Malaysia gagal bertindak tegas terhadap pihak yang menghina agama Islam, selain turut mengandungi ungkapan berbaur penghinaan terhadap pemimpin negara.
Menurut fakta kes, hantaran berkenaan dikesan pada hari yang sama oleh seorang Penolong Pengarah Jabatan Moderasi Kandungan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertugas di Cyberjaya, Selangor.
Laporan kemudiannya dibuat selepas kandungan tersebut didapati mengandungi unsur penghinaan melampau.
Hasil siasatan lanjut membawa kepada serbuan yang dijalankan pegawai MCMC pada 17 Jun lalu sebelum mendapati akaun Facebook milik tertuduh masih aktif pada telefon bimbitnya dan berjaya mendapatkan semula hantaran berkenaan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan beliau terpengaruh dengan perbincangan dan komen yang dibaca di media sosial.
“Saya menyesali perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.
Tertuduh turut mengakui insiden tersebut memberi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati ketika mengulas isu sensitif.
Ketika menyampaikan keputusan, Hakim Iris menegaskan kesalahan yang melibatkan kepentingan awam perlu dipandang serius.
Beliau turut mengingatkan bahawa permohonan maaf tertuduh seharusnya ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia serta Yang di-Pertuan Agong.
“Anda perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong. Tiada gunanya meminta maaf kepada mahkamah kerana kesannya telah berlaku,” katanya.
Sementara itu, pegawai pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.
Menurut beliau, kenyataan yang dimuat naik tertuduh bukan sahaja menghina Yang di-Pertuan Agong, malah berpotensi menjejaskan keharmonian negara sekiranya dibiarkan tanpa tindakan yang sewajarnya.






