Tanding paling banyak kerusi, peluang Bersatu tebus prestasi buruk 2022

BERSATU yang tidak mempunyai kerjasama politik dengan Pas tetapi masih menjadi ahli Perikatan Nasional (PN) diberi peluang bertanding paling banyak kerusi menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Perkara itu  dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor yang menjelaskan, gabungan itu sudah menyelesaikan rundingan kerusi bertindih dengan sebahagian besarnya ditandingi Bersatu.

“Saya punya tugas runding kerusi-kerusi yang bertindih. Yang tak bertindih bebas untuk semua (bertanding). Yang bertindih dah selesai. Esok malam pengumuman calon di bilik gerakan di Muar.

“Saya selesai 34 kerusi, yang tak bertindih terpulang kepada parti masing-masing. Tak ada gusti. PN akan lead, bertanding atas nama dan logo PN,” kata kepada wartawan selepas mesyuarat rundingan kerusi PRN Johor di Kuala Lumpur hari ini.

Pembahagian  itu yang dianggap oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai ‘kami gembira’ sudah pastilah membuka peluang kepada parti itu menebus pencapaian paling buruk pada PRN 2022 lalu.

Dalam PRN tersebut, Bersatu hanya mampu memenangi dua kerusi iaitu di Bukit Kepong dan Endau walaupun bertarung di 33 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan di negeri kelahiran Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Bersatu menang di DUN Bukit Kepong melalui Datuk Dr Sahruddin Jamal yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 710 undi. Pada PRU-14 beliau menang dengan 1,273 undi.

Di Endau pula  Alwiyah Talib yang mewakili Bersatu menang dengan majoriti 3,041 undi dan seterusnya mempertahankan kedudukan beliau sebagai ADUN kawasan berkenaan selepas menang dengan majoriti 3,080 undi pada 2018 atas tiket BN.

Bagaimanapun Alwiyah baru-baru ini mengumumkan keluar daripada Bersatu dan kembali menyertai UMNO, sekaligus akan menjejaskan peluang Bersatu mempertahankan kerusi berkenaan.

Persoalannya mampukah Bersatu menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang dianggap parti favourite untuk mengekalkan pemerintahan di Johor yang Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Ke-13 daripada 12 Ogos 1986 hingga 3 Mei 1995.

Memandangkan Pas tidaklah begitu kuat di negeri tersebut dan pada masa sama tidak lagi mempunyai kerjasama politik dengan Bersatu, ia memberi peluang kepada Bersatu membuktikan keupayaan jentera pilihan rayanya.

Pada  sidang media itu, Muhammad Sanusi tidak mengumumkan secara terperinci pebahagian 56 kerusi tersebut.

Beliau berkata, Pejuang akan bertanding satu kerusi di Bukit Gambir, manakala Parti Wawasan Negara (Wawasan) tidak menghantar permohonan untuk bertanding di Johor.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas memaklumkan parti itu akan mengumumkan calonnya esok di Muar.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img