MAHKAMAH Majistret Seremban hari ini memerintahkan pemandu Honda Jazz yang memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga remaja maut dalam kemalangan di Matahari Heights, di sini, pada Mac tahun lalu dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.
Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman itu selepas pesalah kanak-kanak yang kini berusia 18 tahun sembilan bulan mengaku bersalah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro Online.
Nurul Azuin dalam penghakimannya membuat keputusan itu selepas mengambil kira laporan sosial dikemukakan Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Faizudin Ahmad Zaini, meneliti hujahan pemberat pihak pendakwaan dan mitigasi pihak pembelaan.Selain itu, ibunya dikenakan bon kelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM4,000 di bawah Seksyen 93(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 iaitu memandu tanpa lesen, remaja itu diperintahkan membayar denda RM2,000, jika gagal bayar boleh dipenjara satu bulan.
Mahkamah juga memerintahkan ibu bapa remaja itu membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa selaras dengan Seksyen 426A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hafiza Ishak berkata, pihak pendakwaan memohon setiap keluarga membacakan kenyataan impak dihadapi keluarga akibat kemalangan itu sebelum membuat hujahan pemberat supaya dengan mengesyorkan pesalah kanak-kanak itu dihantar ke penjara.
“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan pesalah kanak-kanak itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney seperti disyorkan pegawaiJKM,” katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding mahkamah yang dijalankan secara tertutup.
Sementara itu, Peguam Johan Radzi yang mewakili remaja itu memohon penangguhan berhubung perintah ke Sekolah Henry Gurney yang berkuat kuasa hari ini kerana faktor kesihatan anak guamnya, namun ia ditolak mahkamah kerana sekolah itu mempunyai fasiliti perubatan.
Menurutnya, badan anak guamnya kini tidak seperti dulu kerana impak kejadian itu menyebabkan pinggang dan lutut remaja itu tidak stabil selain tidak mampu berdiri dalam tempoh lama.
Terdahulu, pemandu Honda Jazz berkenaan tiba di perkarangan Mahkamah Seremban dengan bertongkat dan ditemani ahli keluarganya.
Media pada Mac tahun lalu melaporkan seorang pemandu remaja lelaki gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah hingga melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, manakala seorang lagi mangsa, Aisar Azim meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar pada 10 Mac tahun lalu.






