‘’Malaysia melonjak bukan hasil saya seorang tapi kecekapan penjawat awam’’ – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi Malaysia dalam tempoh tiga tahun setengah ini melonjak bukan kerana beliau sebagai Perdana Menteri tetapi disebabkan sistem pentadbiran awam negara.

Sehubungan itu beliau memuji kecekapan penjawat awam negara kerana berjaya meningkatkan prestasi Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).

Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 IMD, meningkat lapan anak tangga daripada kedudukan ke-23 tahun lalu.

“Prestasi kita (Malaysia) dalam tiga setengah tahun ini bukan sebab Anwar perdana menteri, tidak…(tetapi) sebab sistem (pentadbiran penjawat awam) itu, dan rakan-rakan dalam pasukan…sebab penjawat awam.

“Presiden Turkmenistan (Serdar Berdimuhamedov) sebut World Competitiveness Index (Penarafan Daya Saing Dunia), anda telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Saya kata terima kasih (kepada Presiden Serdar).

‘’Tetapi saya tahu ini berlaku kerana pasukan perkhidmatan awam…kerana kecekapan dan perkhidmatan itu bukan hasil usaha saya seorang, tetapi seluruh pasukan di seluruh negara,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon selatan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) di Simpang Ampat, Alor Gajah.

Perdana Menteri berkata, kejayaan Malaysia turut menarik perhatian Berdimuhamedov yang mahu menghantar pasukan penjawat awamnya bagi mengadakan perbincangan dengan penjawat awam negara untuk meningkatkan prestasi mereka.

Beliau berkata, hal itu satu pengiktirafan kepada Malaysia yang masih dikategorikan sebagai negara sedang membangun.

“Itu bos dia (Berdimuhamedov) kata, beliau nak hantar pasukan penjawat awamnya, bincang dengan pasukan penjawat awam kita. Ya, pujiannya satu, tetapi maknanya kita telah bergerak maju,” kata Anwar.

Hadir sama pada program sesi santai itu ialah Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Azhar Arshad.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img