
* Adham Baba kembali bertanding, Alwiyah kekal bertarung di Endau, Sumali ganti Hasni di Benut*
BARISAN Nasional (BN) hari ini mengiringi pengumuman senarai 56 calon parti itu yang akan bertarung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan penegasan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa BN tidak akan bergabung dengan mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan gabungan jika mereka menang pada 11 Julai ini.
Pada majlis pengumuman calon di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN negeri itu akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.
Pada PRN 2022, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,543 undi selepas meraih undi 11,029 undi menewaskan pesaingnya, Azlisham Azahar (PN-Pas), R Sangaran (Muda) dan Sharuddin Md Salleh (Pejuang).
Sementara itu kembalinya bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bertanding di kerusi DUN Pasir Raja manakala bekas ADUN Bersatu di Endau, Alwiyah Talib sekali lagi diberi amanah bertanding di kerusi menarik perhatian ramai.
Adham, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara, diberi kepercayaan untuk mempertahankan kubu kuat BN di Pasir Raja yang dimenangi parti itu pada PRN 2022.
Kerusi itu kini disandang Rashidah Ismail yang memenangi DUN Pasir Raja dengan majoriti 4,888 undi selepas menewaskan calon PN, PH dan Pejuang pada pilihan raya lalu.

Pemilihan Adham dianggap ‘sireh pulang ke gagang’ memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai ADUN Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 sebelum beralih ke pentas Parlimen sebagai Ahli Parlimen Tenggara.
Bagaimanapun, Adham tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Alwiyah sekali lagi diberi peluang untuk mempertahankan DUN Endau bersama BN selepas membuat keputusan keluar daripada Bersatu pada 4 Jun lalu.
Pemilihan Alwiyah bukanlah satu kejutan walaupun tidak sampai sebulan beliau meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu. Ia kerana Ahli Politik berusia 64 tahun itu mempunyai pengaruh besar di DUN tersebut.
Ia terbukti apabila ketika bertanding atas tiket BN pada PRU-14, beliau menang dengan majoriti 3,081 undi dan mempertahankan kerusi itu dalam PRN 2022 dengan majoriti 3,041 undi biarpun mewakili Bersatu.
Turut menarik perhatian ialah pemilihan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan untuk bertanding di DUN Benut yang sebelum ini disandang oleh bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohamed.
Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) membuat kemunculan pertama sebagai calon dalam PRN kali ini, dan dilihat sebagai antara pertaruhan baharu BN bagi mengekalkan pengaruh di kawasan berkenaan.
Hasni yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memegang kerusi Benut sejak Pilihan Raya Umum 2008 dan berjaya mempertahankannya pada 2013, 2018 dan 2022.






