PEMBERI perkhidmatan media sosial berlesen yang gagal mematuhi kewajipan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta, selain berdepan tindakan penguatkuasaan lain oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Akta 866 memperuntukkan beberapa mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan dalam talian, termasuk perlindungan kanak-kanak di platform media sosial.
“Pertama, Seksyen 30 Akta 866 memberi kuasa kepada MCMC untuk mengeluarkan arahan secara bertulis kepada pemberi perkhidmatan berlesen berhubung pematuhan mana-mana peruntukan di bawah Akta 866.
“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta serta denda tambahan tidak lebih RM100,000 setiap hari sepanjang kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Fahmi, MCMC juga boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan sekiranya pemberi perkhidmatan aplikasi gagal memenuhi kewajipan yang ditetapkan di bawah Bahagian 3 Akta berkenaan.
“Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian 3 Akta 866 ini, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak lebih RM10 juta seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 866,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata semua pemberi perkhidmatan aplikasi (ASP) dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan (CASP) berlesen yang menawarkan perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum pengguna.
Menurutnya, di bawah CPC, pengguna yang telah mencapai usia 16 tahun dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial, manakala individu di bawah umur tersebut tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun sehingga mencapai umur yang ditetapkan.
Katanya, pendekatan yang dikenali sebagai inisiatif “Tunggu 16” itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko dan kemudaratan dalam talian, selain memastikan mereka menggunakan media sosial secara lebih selamat dan bertanggungjawab.
Fahmi menambah, pelaksanaan pengesahan umur itu melibatkan pengesahan umur dan bukannya pengesahan identiti, selain perlu dilaksanakan secara selamat, praktikal dan menghormati privasi pengguna.






