Bekas pegawai NGO Ikram didakwa ubah wang haram hampir RM18 juta

SEORANG bekas pegawai pertubuhan bukan kerajaan (NGO),  Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Hulu Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi hampir RM18 juta.

Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut empat pertuduhan, Fakhrudin didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM10.54 juta daripada akaun Ehsan Cares Solution Sdn Bhd bagi pembayaran pembinaan sebuah banglo di Bandar Kundang, Gombak.

Bagi tiga lagi pertuduhan, dia didakwa memindahkan RM2.66 juta daripada akaun sama bagi pembayaran kad kredit miliknya.

Bagi 10 pertuduhan lagi, dia didakwa memindahkan RM4.79 juta daripada akaun sama ke akaun dua syarikat bagi pembayaran beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes-Benz AMG S63, Range Rover SVA, Porsche 911 Carrera S, Porsche 911 Turbo S, Toyota Alphard dan Lexus RX300.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di dua cawangan bank di Bangsar dan Jalan Sultan Ismail antara 6 Januari 2021 hingga 21 April 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan syarat sama seperti yang dikenakan Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini, serta menetapkan 7 Ogos untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 16 Jun lalu, Fakhrudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai pegawai Pertubuhan Ikram Malaysia Hulu Selangor bagi memperoleh suapan berjumlah RM98.27 juta.

Dia didakwa mengarahkan pemindahan dana milik NGO itu kepada sebuah syarikat pengurusan yang mempunyai kaitan dengannya serta ke akaun bank miliknya sendiri antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri  Abd Halim Aman sebelum ini berkata, pendakwaan itu adalah sebahagian daripada Ops Sutra, yang menyiasat dakwaan penyelewengan dana awam berprofil tinggi. Pada April lalu, SPRM turut menahan beberapa individu dan menyita aset dianggarkan bernilai RM18.36 juta susulan siasatan kes berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img