Cuba seludup 4kg ganja hidroponik, rakyat Malaysia ditahan di Chennai

SEORANG rakyat Malaysia ditahan ketika cuba membawa masuk lebih empat kilogram ganja hidroponik menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai di India.

Kastam Chennai dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Press Information Bureau (PIB) India semalam berkata, penumpang itu tiba dari Bangkok pada malam 7 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, penumpang berkenaan cuba keluar melalui Laluan Hijau tanpa membuat sebarang pengisytiharan kepada pihak kastam.

Pegawai Unit Perisikan Udara (AIU) Kastam Chennai menahan penumpang itu untuk pemeriksaan berdasarkan pemprofilan yang dilakukan.

Pemeriksaan sinar-X terhadap bagasi daftar masuknya kemudian memaparkan imej mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan empat bungkusan berisi bahan kehijauan dan berketul yang mengeluarkan bau tajam serta menyengat, disyaki ganja hidroponik bermutu tinggi.

“Bungkusan berkenaan disembunyikan dalam ruang khas yang dibina pada bahagian bawah bagasi daftar masuk itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bahan dengan berat bersih 4,033 gram itu disahkan positif ganja menerusi kit pengesanan dadah.

Dadah berkenaan dirampas mengikut Seksyen 43(a) Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985 India.

Penumpang itu kemudian ditahan serta direman dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai, khususnya golongan muda, dinasihatkan supaya berwaspada terhadap tawaran perjalanan ke luar negara yang ditaja serta peluang memperoleh wang mudah dengan membawa bagasi tidak diketahui kandungannya ketika pulang.

“Analisis kes terkini mendapati sindiket penyeludupan sering menyasarkan golongan muda dengan membiayai perjalanan, penginapan dan perbelanjaan lain sebelum menggunakan mereka untuk membawa serta menyerahkan barangan terlarang ke India,” katanya.

Untuk rekod, ganja hidroponik ditanam tanpa tanah menggunakan larutan air bernutrien, lazimnya di dalam bangunan dengan pencahayaan, suhu dan kelembapan terkawal.

Kaedah itu membolehkan kitaran pertumbuhan diurus dengan lebih tepat dan sering dikaitkan dengan penghasilan ganja bermutu tinggi serta kandungan tetrahydrocannabinol (THC) lebih tinggi.

Pada September tahun lalu, Direktorat Perisikan Hasil India (DRI) melaporkan peningkatan mendadak cubaan menyeludup ganja hidroponik dari Thailand menerusi beberapa lapangan terbang negara itu.

Agensi berkenaan merampas 108.67 kilogram ganja hidroponik yang disyaki diseludup dari negara itu dalam beberapa operasi di seluruh India dalam tempoh kurang 20 hari.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here