Lelaki dihukum penjara 39 tahun, 10 sebatan mengaku salah rogol anak hingga hamil

LELAKI dijatuhi hukuman penjara 39 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol anak kandungnya sehingga hamil di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak, di Kuala Lumpur hari ini.

Tertuduh yang berusia 46 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Lelaki berkenaan didakwa atas tiga pertuduhan merogol dan mahkamah memerintahkam hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa sekitar awal 2024, hujung 2024 dan bulan ini, di sebuah rumah di Kuala Lumpur.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh memohon budi bicara hakim supaya mengurangkan hukumannya, namun Kunasundary berhujah, hukuman perlu benar-benar memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

“Dalam menjatuhkan hukuman ini, mahkamah sedar tertuduh telah mengaku bersalah pada tarikh pertama dihadapkan ke mahkamah.

“Namun kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yan amat keji dan penderitaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh adalah ibarat haruan makan anak,” tegasnya.

 Kunasundary turut mengenakan perintah tambahan dengan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

 Kejadian rogol itu terbongkar selepas tertuduh membawa mangsa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan dan mendapati mangsa telah hamil enam minggu dan empat hari.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan pada 18 Jun lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img