KEGAGALAN menjaga kebersihan premis termasuk kehadiran lipas dan tikus di dapur, selain pekerja tidak mendapatkan suntikan tifoid antara pelbagai kesalahan yang dikesan dalam Operasi Gelap Gempur Khas di Jalan Alor, Bukit Bintang semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bertujuan memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan syarat pelesenan premis makanan sentiasa berada pada tahap ditetapkan.
Menurut DBKL, hasil pemeriksaan ke atas 45 premis makanan mendapati sebanyak 74 notis dan kompaun telah dikeluarkan di bawah pelbagai peruntukan undang-undang.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk kegagalan menjaga kebersihan premis, tidak memasang atau menyelenggara perangkap minyak, penyimpanan bahan makanan yang tidak mengikut spesifikasi serta pekerja yang tidak mendapatkan suntikan tifoid dan tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.
“Turut dikesan ialah pelanggaran larangan merokok serta kegagalan mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
DBKL berkata, dalam operasi sama enam premis makanan diarahkan tutup mengikut Undang-Undang Kecil 28(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 kerana gagal memenuhi standard kebersihan yang ditetapkan.
Menurut DBKL, pihaknya akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua premis makanan di ibu kota mematuhi undang-undang sekali gus menjamin kebersihan, keselamatan makanan dan kesejahteraan warga kota.






