TEMPOH reman terhadap lima lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan dua sepupu remaja perempuan sebelum mereka ditemui di sebuah inap desa di Machang disambung lima hari lagi bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, permohonan sambung reman dibuat selepas tempoh reman sebelum ini terhadap semua suspek berusia antara 16 hingga 23 tahun berakhir semalam.
Menurut beliau, lanjutan reman diperlukan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Permohonan sambung reman terhadap semua suspek dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Tempoh sambung reman selama lima hari bermula hari ini hingga Selasa depan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua sepupu remaja yang dilaporkan hilang sejak 18 Jun lalu ditemui selamat di Machang pada petang Sabtu lalu, kira-kira 32 jam selepas keluarga mereka membuat dua laporan polis berasingan.
Remaja terbabit, Nor Syahzanani Mohd Sulaiman, 15, dan Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16, ditemui di sebuah inap desa di Machang yang terletak kira-kira 25 kilometer dari kediaman mereka di Kampung Baloh dekat Kok Lanas.
Susulan penemuan kedua-dua remaja berkenaan, polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.





