KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) akan meneruskan agenda pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut jadual sepanjang tempoh 2026 hingga 2030, termasuk penerimaan beberapa aset strategik baharu serta pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM telah menerima tiga unit Unmanned Aerial System (UAS) ANKA MALE Fasa 1 pada Mac lalu yang kini ditempatkan dan mula beroperasi di Pangkalan Udara Labuan.
Menurutnya, ATM juga dijadual menerima beberapa aset utama lain termasuk Fighter Lead In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.
“Selain memperkukuh aset ketenteraan konvensional, kementerian turut memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan.
“Antaranya melalui penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengukuhan keupayaan pertahanan siber secara bersepadu, pembangunan keupayaan peperangan elektronik, penguasaan spektrum elektromagnetik serta keupayaan satelit pertahanan negara dalam operasi ketenteraan.
“Usaha ini akan diterajui oleh Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di ibu negara, semalam.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, kesejahteraan anggota dan veteran ATM akan terus menjadi tonggak utama pertahanan negara.
Beliau berkata, kerajaan akan membina enam projek baharu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta meneruskan kerja penyenggaraan membabitkan 20,000 unit RKAT sedia ada.
“Dalam aspek kesihatan, dua poliklinik ATM baharu akan dibina selain usaha menaik taraf hospital angkatan tentera diteruskan.
“Bagi membantu anggota menghadapi kos sara hidup, kementerian turut melaksanakan Program Ekonomi MADANI ATM dan meneruskan Program Jualan Istimewa MADANI ATM (JIMAT) bagi meringankan beban keluarga serta komuniti ATM,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pemerkasaan veteran ATM bukan sekadar bantuan kebajikan, sebaliknya manifestasi penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat.
“Salah satu langkah intervensi yang kita jalankan untuk Veteran ATM adalah penyediaan pelbagai peluang kerjaya kedua kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, antaranya menerusi program Work-Based Learning (WBL), pengukuhan peranan PERHEBAT, program Reskilling dan Upskilling serta Program PROWIRA Ready To Work Veteran bagi meningkatkan kebolehpasaran veteran ATM.
Katanya, kesemua inisiatif ini dilaksanakan secara berfasa dan bersepadu, selari dengan tempoh lima tahun PSPN 2026-2030.






