Polis masih menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pengasuh di Pantai Dalam, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 8.08 malam, 23 Jun lalu selepas bayi terbabit dibawa ke hospital oleh ibu serta pengasuh dalam keadaan tidak bernyawa.
“Siasatan awal mendapati ibu mangsa dimaklumkan pengasuh pada jam 5.04 petang bahawa bayi itu tidak sedarkan diri selama kira-kira 30 minit ketika berada di rumah pengasuh berkenaan.
“Polis kini masih menunggu keputusan makmal bagi membantu mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan disahkan meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu ketika berada di bawah jagaan pengasuh.
Kejadian itu disedari selepas pengasuh menghubungi ibu mangsa kira-kira jam 5 petang bagi memaklumkan bayi berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, ibu mangsa meminta pengasuh membawa bayi itu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun perkara itu tidak dilakukan.
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa gagal apabila pegawai perubatan mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia pada jam 6.08 petang.






