Pemancing warga emas hilang, ditemui lemas di Sungai Bera

SEORANG lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Bera ketika memancing ditemukan lemas pagi tadi, pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat Mohamad Shukri Bakar@Hassan, 62, ditemukan pada jam 9.39 pagi.

Menurut beliau, mangsa ditemukan orang awam kira-kira 25 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh di Sungai Bera berhampiran Kampung Sungai Batu.

“Pihak bomba kemudian membantu membawa mayat mangsa ke Jeti Kuala Bera sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR hari kedua disambung pada jam 8 pagi membabitkan 13 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang.

Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Dua bot digunakan sepanjang operasi pencarian dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar memancing seorang diri di sungai berkenaan semalam sebelum dipercayai terjatuh ke dalam air.

Kejadian dilaporkan pada jam 4.52 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari BBP Triang yang terletak kira-kira 48 kilometer dari lokasi digerakkan untuk operasi SAR.

Operasi hari pertama tertumpu kepada pencarian di permukaan air sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh sebelum ditangguhkan pada jam 7.17 petang dan disambung semula pagi tadi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img