MISTERI kehilangan dua nelayan tempatan selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pasir Hitam, Kuala Terong, Parit Buntar berakhir apabila kedua-duanya ditemukan lemas semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Mohd Hairil Othman berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh sebuah vesel nelayan tempatan sebelum dibawa ke Jeti Kuala Sepetang.
Menurut beliau, identiti mangsa kemudian disahkan oleh majikan masing-masing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati bot nelayan yang dinaiki mangsa disyaki mengalami kerosakan enjin selain faktor cuaca buruk ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja menarik pukat.
“Susulan penemuan kedua-dua mangsa, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.10 malam semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hairil turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga serta waris mangsa atas kehilangan yang dialami.
Beliau dalam masa sama mengingatkan komuniti maritim khususnya golongan nelayan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut.
Katanya, mereka perlu memastikan bot berada dalam keadaan baik dan selamat untuk belayar selain memakai jaket keselamatan sepanjang masa.
“Nelayan juga dinasihatkan membawa peralatan komunikasi yang berfungsi serta menyemak ramalan cuaca sebelum keluar ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.






