POLIS bercadang menggunakan kit ujian air liur di lokasi sekatan jalan raya (SJR) bagi mengesan pemandu dan pengguna cecair dadah sintetik yang dipasarkan menggunakan nama komersial seperti Piu Piu dan Magic Mushroom.
Langkah itu dicadangkan susulan kebimbangan peningkatan kes kemalangan jalan raya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penggunaan dadah sintetik melalui rokok peranti elektronik atau vape.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara perkara yang membimbangkan ialah terdapat pengguna yang memandu sambil menghisap vape mengandungi bahan terlarang sehingga menyebabkan mereka khayal secara beransur-ansur.
Menurut beliau, Piu Piu dan Magic Mushroom bukan nama dadah, sebaliknya istilah yang digunakan bagi tujuan pemasaran dan promosi cecair dadah sintetik yang dimasukkan ke dalam peranti vape.
“Di negara kita berlaku kemalangan yang dipercayai berpunca daripada individu yang menghisap dadah cecair sintetik melalui vape.
“Bahan ini mudah diperoleh sama ada menerusi pembelian dalam talian, pusat hiburan atau dalam kalangan pengguna sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, kesan pengambilan dadah itu boleh menyebabkan pengguna hilang pertimbangan serta kewarasan ketika memandu.
Sebelum ini, Hussein turut mendedahkan penggunaan bahan berkenaan bukan sahaja melibatkan pengguna jalan raya malah turut dikesan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Menurut beliau, sehingga 10 Jun lalu, sebanyak 168 kes dengan 267 tangkapan direkodkan membabitkan penggunaan cecair dadah sintetik di seluruh negara.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 108 kes dan 138 tangkapan bagi tempoh sepanjang tahun lalu.
Katanya, jika perkara itu tidak dikawal segera, pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah kemalangan jalan raya akibat pengambilan dadah sintetik akan terus meningkat.
“JSJN turut memohon pertimbangan kerajaan untuk meluluskan peruntukan pembelian kit ujian air liur bagi digunakan dalam SJR menjelang hujung tahun ini.
“PDRM juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menangani isu ini,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah lebih tegas terhadap penggunaan vape bagi memudahkan usaha penguatkuasaan serta mengekang penyalahgunaan dadah sintetik.






