RUU pengasingan peranan AG, Pendakwa Raya dijangka dibahas, diputuskan sidang kali ini

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dapat dibahas dan diputuskan pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan RUU itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan beliau akan membentangkan lebih lanjut mengenai pindaan itu pada mesyuarat minggu depan.

Katanya, pihak pembangkang yang diwakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi maklum balas positif terhadap pindaan RUU itu ketika pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau turut bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang tidak bersetuju dengan pindaan itu semalam dan mengambil maklum mengenai cadangan mereka berhubung pindaan berkaitan nama calon Pendakwa Raya yang akan dibentangkan ke Parlimen.

“Saya harap kita dapat membuat kepastian dan mengira (sokongan), dan saya harap sebelum sesi Parlimen ini tamat, kita akan dapat menjalankan pindaan ini.

“Daripada tanggapan saya, saya percaya pindaan Perlembagaan ini akan mendapat banyak sokongan daripada Ahli Parlimen, kerajaan dan juga pembangkang sebab Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) mengambil kira suara daripada semua parti politik.

“Selalunya, jika RUU dibawa ke JKPK, persepsinya adalah mereka (jawatankuasa) mewakili parti politik. Keputusan JKPK secara seluruh dan serentak diterima sebab mereka mewakili parti politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Putrajaya hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.

Selepas bacaan kedua pada 3 Mac lalu, RUU itu dirujuk ke JKPK untuk diperhalusi.

Pada Isnin lalu, Azalina memaklumkan, syor penambahbaikan RUU itu antaranya adalah pelantikan Pendakwa Raya dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat SPKP, tanpa membabitkan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Selain itu katanya, Parlimen akan diberi kebebasan untuk membuat penilaian dan syor terhadap senarai calon Pendakwa Raya yang dikemukakan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), malah boleh membahaskan, membuat pengundian atau mengumumkan secara terbuka mengenai keputusan berkaitan calon berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img