KEMALANGAN membabitkan sebuah bas persiaran yang terbabas di Kilometer 275.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Bandar Ainsdale, Seremban petang ini mengakibatkan kesesakan trafik sepanjang 14 kilometer (km).
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, pemandu bas persiaran berkenaan turut mengalami kecederaan parah akibat tersepit.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila bas tersebut yang membawa sebanyak 15 penumpang bersama seorang kelindan terbabas dan melanggar pembahagi jalan di kiri lebuh raya.
“Berikutan itu, pemandu bas berusia 46 tahun tersepit dan cedera parah berjaya dikeluarkan pihak bomba, manakala kelindan bas dan lima penumpang cedera ringan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sementara itu, status terkini yang dikongsikan menerusi saluran Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) Info Trafik memaklumkan keadaan trafik masih sesak setakat jam 7.19 malam tadi.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat masih berada di lokasi dan menunggu kenderaan penunda bagi kerja pengalihan bas.
“Lapan penumpang bas yang tidak mengalami kecederaan sudah bergerak dari lokasi menaiki bas lain. Trafik sesak 14km,” menurut kenyataan LLM Info Trafik.






