Zahid kata BN sasar tambah kerusi menang, Muhyiddin tetap yakin PN ada peluang tubuh kerajan

 

SELEPAS menang selesa dengan 40 daripada 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Barisan Nasional (BN) hari ini memasuki gelanggang yang sama dengan sasaran pertambahan kerusi bagi membolehkan parti itu terus memerintah.

Walaupun tidak menyatakan jumlah sasaran tersebut namun Pengerusi BN Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu  mempunyai beberapa struktur dan gerak kerja, dan tentunya  mahu memperoleh lebih banyak kerusi.

“Namun, ia bergantung kepada bagaimana jentera, sama ada media, media sosial mahupun jentera di lapangan, menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan di setiap kawasan DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama jentera DUN Benut di Simpang Renggam hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu mengiringi calon BN Datuk Onn Hafiz Ghazi ke pusat penamaan calon. Turut sama bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana  turut menyeru jentera BN supaya tidak menyerang pihak lawan seperti Pakatan Harapan (PH), meskipun mempunyai perbezaan pandangan.

“Ya, kita berkawan dan kita berlawan dalam gelanggang yang sama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Namun, kesefahaman telah kita tanamkan supaya kita tidak menyerang pihak lawan walaupun berbeza pandangan dan pendapat dalam konteks negeri Johor.

“Kita harus melihat gambaran yang lebih besar di peringkat nasional, dan perkara ini amat difahami oleh kepimpinan utama parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

DI PAGOH,  Presiden Bersatu Tan Muhyiddn Yassin tetap yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang membentuk kerajaan walaupun hanya bertanding 33 kerusi pada PRN Johor. 

Timbalan pengerusi PN itu berkata jumlah kerusi ditandingi bukan satu-satunya ukuran kerana keputusan akhir tetap bergantung kepada pilihan rakyat.

Katanya, PN juga mempunyai rakan lain yang boleh bersama gabungan itu dalam pakatan pilihan raya, termasuk Muda.

“Soal jumlah itu satu hal… ia sudah mencecah separuh daripada jumlah diperlukan untuk membentuk kerajaan dan ada juga rakan lain yang sanggup bersama dalam pakatan pilihan raya, contohnya Muda,” katanya selepas mengiringi calon PN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal ke pusat penamaan calon.

PN bertanding 33 kerusi dengan Bersatu 16, Pas (11), MIPP (5) dan Pejuang (1).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img