MENTERI Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Parit Kemang, Batu Pahat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC0 dalam kenyataan berkata, ia sebagai usaha untuk terus memperluas literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan komuniti, turut dilaksanakan dengan ‘’kerjasama Pepper Labs dan Amazon Web Services (AWS).
‘’Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi mendapat pendedahan kepada kemahiran AI selaras dengan perkembangan teknologi semasa,’’ kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, seramai 5,010 orang peserta disasarkan untuk terlibat meliputi 167 NADI di 10 negeri, termasuk 17 lokasi di Johor, bagi memperluas akses kepada kemahiran AI secara inklusif.
‘’Para peserta didedahkan kepada asas dan aplikasi AI, termasuk kejuruteraan prompt, penggunaan untuk perniagaan mikro, peningkatan produktiviti serta amalan AI secara bertanggungjawab.
‘’Pelaksanaan ini turut disokong oleh pengiktirafan NADI di peringkat antarabangsa melalui World Summit on the Information Society (WSIS) serta peranannya sebagai Digital Transformation Centre di bawah International Telecommunication Union (ITU), sekali gus membuka akses kepada program dan pensijilan digital global kepada komuniti,’’ kata MCMC.
MCMC memberitahu, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI, usaha ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran digital serta peningkatan daya saing komuniti dalam ekonomi digital.
‘’Program ini juga menyokong saranan “1 NADI 1 Prompt Engineer” sebagai langkah membina keupayaan komuniti dalam penggunaan AI secara praktikal dan bertanggungjawab, sekali gus melahirkan individu rujukan di peringkat setempat,’’ kata kenyataan itu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.






