SEORANG lelaki warga Australia berusia 46 tahun ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok semalam selepas dipercayai membunuh seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg pakaian yang dibuang berhampiran landasan kereta api di Pattaya.
Suspek dilaporkan mengaku melakukan perbuatan itu, namun mendakwa dia bertindak untuk mempertahankan diri.
Ketua Polis Pattaya, Pol Col Anek Srathongyu, berkata polis menerima laporan kehilangan mangsa, yang hanya dikenali sebagai Thanchanok, berasal dari Kalasin, pada petang Jumaat, lapor Bangkok Post.
Siasatan mendapati mangsa kali terakhir dilihat memasuki sebuah kondominium sambil berpegangan tangan dengan seorang lelaki warga asing pada jam 3.34 pagi Khamis. Mereka menginap di sebuah unit di tingkat 15 sebuah kondominium di Jalan Jomtien Second, kawasan Nong Prue, daerah Bang Lamung, Pattaya.
Kira-kira 18 jam kemudian, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki berkenaan mengheret sebuah beg pakaian hitam keluar dari kondominium sebelum meletakkannya di belakang sebuah motosikal.

Dia kemudian menunggang motosikal menuju ke Jalan Sukhumvit sebelum membelok ke Chaiyaphruek Soi 2. Suspek dilihat menunggang melawan arus di sepanjang landasan kereta api sebelum hilang daripada liputan CCTV selama kira-kira sembilan minit.
Selepas itu, dia kembali ke kondominium melalui laluan yang sama, namun tanpa membawa beg pakaian tersebut.
Polis kemudian mengenal pasti suspek sebagai Simon Peter Carman, 46, warga Australia. Ketika polis menyerbu bilik penginapannya, suspek sudah melarikan diri, namun terdapat kesan pergelutan di dalam bilik berkenaan.
Pihak berkuasa segera melancarkan operasi memburu suspek sebelum berjaya menahannya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi ketika dia sedang membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Australia.
Pegawai yang membuat tangkapan turut menemui beberapa kesan calar pada leher dan lengan suspek yang dipercayai berpunca daripada kuku mangsa ketika berlaku pergelutan. Suspek kini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan lanjut.






