KERAJAAN akan menyemak semula kadar kuota tetap diesel bersubsidi bagi beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan agihan subsidi selaras keperluan operasi sebenar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata di bawah penambahbaikan itu dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Ogos depan, pelarasan kuota diesel di bawah SKDS tidak lagi berdasarkan purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, sebaliknya mengambil kira beberapa faktor teknikal.
“Antara faktor akan dinilai ialah berat dengan muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api dan pola operasi setiap kenderaan.
“Ada kenderaan jenis pengangkutan sama tetapi BDM berbeza, jika sebelum ini jenis pengangkutan itu ada kuota tetap yang sama tetapi dari segi penggunaan, kita tahu kenderaan BDM lebih besar dari segi berat, saiz dan muatannya, maka penggunaan bahan api itu akan lebih tinggi.
“Jadi semalam Kabinet membuat keputusan kita buat pelarasan kuota tetap bukan hanya melihat kepada purata penggunaan sebelum ini, kita ada rekod dan lihat faktor teknikal lain supaya kuota itu lebih bertepatan dengan tanggungan kos operasi syarikat terbabit dengan pengangkutan barangan keperluan penggunaan,” katanya.
Beliau berkata demikian program turun padang sempena pelaksanaan BUDI Diesel di Presint 18, di Putrajaya, hari ini.
Armizan berkata, pelarasan kuota itu penting kerana kuota bagi syarikat pengangkutan dikemas kini pada hari terakhir setiap bulan sebelum dikuatkuasakan pada hari pertama bulan berikutnya.
Mengulas pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Labuan, Armizan menggesa semua syarikat yang layak, termasuk 23 kategori pengangkutan barangan dan 10 kategori pengangkutan awam segera mengemukakan permohonan sebelum Selasa ini bagi membolehkan mereka menikmati subsidi serta layak menuntut bayaran balik jika kelulusan masih dalam proses.
“Kerajaan memberi ruang tuntutan bayaran balik, namun syaratnya permohonan SKDS mesti dikemukakan selewat-lewatnya 30 Jun. Mereka yang memohon selepas tarikh itu tidak layak membuat tuntutan bayaran semula,” katanya.






