DUA lelaki tempatan yang ditahan selepas cuba melarikan diri daripada polis sebelum terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur kelmarin, direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek direman sehingga 1 Julai depan.
Menurutnya, dadah yang ditemukan dalam kenderaan suspek dipercayai untuk kegunaan sendiri.
“Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan cubaan dua lelaki melarikan diri daripada polis selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan berakhir dengan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuching dari arah Lebuhraya DUKE menghala ke pusat bandar.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.46 malam itu, kedua-dua suspek berjaya ditahan di lokasi.
Siasatan awal mendapati kira-kira jam 5.30 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju yang sedang menjalankan tugas mengesan sebuah Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan di kawasan Wangsa Maju.
Bagaimanapun, pemandu bersama seorang penumpang enggan memberhentikan kenderaan sebelum berlaku insiden kejar-mengejar sehingga ke Jalan Kuching.
Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram..






