SEORANG lelaki maut manakala isterinya cedera selepas pikap dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di tepi Jalan Kampung Paris 2, di Kinabatangan hari ini.
Pemandu kenderaan terbabit, Salim Dudul, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan kira-kira jam 1 petang itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.06 petang berhubung kemalangan itu.
Beliau berkata, lima anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan terbabit.
“Bagaimanapun, pemandu lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Isteri pemandu berusia 53 tahun yang cedera pula dibawa ke Hospital Lahad Datu dengan menggunakan kenderaan keluarganya sendiri,” katanya ketika dihubungi media.
Suriyadi berkata, operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi adalah selamat dan punca kejadian masih dalam siasatan.






