KELUARGA yang dikaitkan dengan isu jenazah lewat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang nafi memalsukan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.
Bapa arwah, Muhammad Hasrul Ghazali, 41, turut menafikan kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kononnya dia mahu pihak Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam menguruskan jenazah anaknya, Siti Adawiyah, 14, yang meninggal dunia akibat komplikasi usus bocor.
Pemandu peribadi itu berkata, dia tidak pernah meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya, sebaliknya segala urusan pengurusan jenazah dilakukan oleh Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS).
“Selepas jenazah anak saya dibenarkan dibawa keluar dari Hospital Ampang, jenazah dibawa ke Surau An-Nur, Taman Cempaka untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
“Selepas itu saya ke Masjid Nurul Hidayah untuk mendapatkan borang kebenaran pengebumian daripada seorang ahli jawatankuasa dikenali sebagai Ustaz Firdaus.
“Bagaimanapun berlaku sedikit kekeliruan apabila saya diminta membawa Permit Mengubur berwarna biru ke tanah perkuburan, sebelum permit itu dipegang oleh seorang wanita yang juga ahli Lembaga Kariah,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini, lapor BH.
Polis hari ini memaklumkan telah menerima tujuh laporan berhubung isu pengurusan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular dalam media sosial dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkaitan isu tersebut susulan penyebaran pelbagai dakwaan di media sosial.
Muhammad Hasrul dalam pada itu mendakwa, selepas menunggu agak lama, dia membawa jenazah anaknya ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana hanya dengan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam berwarna putih dan kuning yang berada dalam simpanannya.
Katanya, sebaik tiba di tanah perkuburan dan menunjukkan borang berkenaan, pekerja tanah perkuburan pada mulanya membenarkan pengebumian dijalankan.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian dua anggota polis datang dan seorang lagi pekerja tanah perkuburan memaklumkan pengebumian perlu dihentikan kerana terdapat laporan polis terhadap saya.
“Kami terpaksa menunggu kira-kira lebih satu jam sehingga pihak masjid membawa permit berwarna biru sebelum jenazah anak saya akhirnya dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya.
Muhammad Hasrul turut menafikan dakwaan bahawa dia menggunakan permit atau borang palsu bagi urusan pengebumian.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Saya hanya membawa permit asal berwarna putih dan kuning. Jika benar ada borang atau permit palsu, sila buktikan kepada saya.
“Daripada pihak hospital saya menerima empat salinan iaitu merah, putih, kuning dan biru. Borang biru saya sudah serahkan kepada pihak masjid, manakala putih dan kuning masih berada pada saya. Jadi saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.
Dia juga menafikan dakwaan memalsukan tandatangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.
“Saya tidak pernah memalsukan tandatangan. Jika ada dakwaan sedemikian, sila tunjukkan bukti kepada saya,” katanya.
Muhammad Hasrul berkata, hingga kini dia tidak pernah dihubungi oleh pihak JAIS atau Masjid Nurul Hidayah sebelum atau selepas kenyataan media berhubung isu itu dikeluarkan.
Mengulas isu bayaran RM1,400, Muhammad Hasrul berkata, dia mendakwa hanya dimaklumkan bahawa pihak masjid akan mengenakan bil kepada waris sebelum bayaran itu boleh dituntut semula daripada BKS.
“Saya ahli BKS. Saya dimaklumkan pihak masjid akan bilkan kepada saya dan kemudian saya perlu membuat tuntutan semula kepada BKS,” katanya.
Sementara itu, datuk arwah, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan kenyataan JAIS yang mendakwa dia berkeras tidak mahu pihak masjid menguruskan jenazah cucunya.
Dia berkata, ketika proses memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah dijalankan, tiada wakil masjid mahupun individu lain hadir menawarkan bantuan menguruskan jenazah.






