POLIS sedang mengesan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang dirakam memandu secara melulu dan berbahaya sebelum terlibat kemalangan dengan kenderaan lain di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di Subang Jaya semalam yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular berkenaan yang memaparkan kenderaan itu melakukan aksi zig-zag sehingga menyebabkan kemalangan dengan kereta BMW.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila BMW yang dipandu dari arah Puchong menghala ke Subang Jaya bergerak perlahan di lorong kanan berikutan kesesakan lalu lintas.
“Kereta itu kemudian dilanggar dari belakang oleh Proton X70,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Wan Azlan berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Proton X70 masih belum membuat laporan polis dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Sarjan Mat Rizan di talian 011-3231 3666.






