POLIS menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan membabitkan hasil kebun durian selain melarikan sebuah motosikal dari sebuah kebun membabitkan kerugian kira-kira RM9,000 berhampiran Anjung Gapam di Bemban, Jasin semalam.
Kesemua suspek berusia antara 27 hingga 35 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Jasin, Melaka Tengah dan Masjid Tanah bermula jam 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan mendapati dua daripada suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu manakala seorang lagi suspek mengaku mengeluarkan sebilah pisau bagi menakutkan mangsa selepas menyedari mangsa merakam gambar kenderaan yang dinaiki suspek.
“Seorang lagi suspek pula mengaku terlibat mengambil meter motosikal yang dilarikan, namun tidak mengaku mengambil buah durian atau mengacukan senjata kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lee, salah seorang suspek tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu, namun ditahan selepas dikenal pasti secara positif oleh pengadu sebagai individu yang melarikan motosikal milik bapa rakannya.
Siasatan turut mendapati dua daripada suspek memaklumkan mereka diajak oleh seorang lagi suspek yang masih bebas ke lokasi kejadian untuk mencuri sport rim sebelum bertindak melarikan motosikal Yamaha Y15ZR selepas melihat motosikal itu di lokasi kejadian, katanya.
Tambah beliau, polis turut merampas tiga unit telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebilah pisau lipat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan, kata Lee.






