ENAM pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor yang disyaki terbabit dalam kes buli berdepan tindakan disingkirkan daripada institusi itu sekiranya siasatan mendapati mereka bersalah.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya sudah mengarahkan Bahagian Pendidikan MARA supaya mengadakan mesyuarat jawatankuasa disiplin maktab dengan segera bagi meneliti kes berkenaan.
Menurut beliau, kesemua pelajar terbabit kini direman selama dua hari dan pihak pentadbiran diberi tempoh sehari untuk melengkapkan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Apa juga alasan sekali pun, perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri kononnya untuk mendisiplinkan pelajar junior adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dikompromi.
“Saya selalu tekankan, ‘you touch, you go’. Amaran ini berkali-kali saya berikan kepada semua pelajar, jika ada perbuatan buli, kalian tiada tempat di MRSM,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook.
Beliau turut menggesa pelajar supaya tidak takut melaporkan sebarang perlakuan buli kepada pihak pentadbir dan tidak memilih untuk meninggalkan institusi kerana tekanan yang dialami.
Katanya, budaya buli perlu dibendung dan mana-mana pihak yang cuba melindungi atau menyembunyikan perlakuan sedemikian juga akan berdepan tindakan tegas daripada MARA.
Terdahulu, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada pelajar MRSM memuat naik hantaran di media sosial mendakwa anak lelakinya terpaksa keluar daripada institusi itu selepas tidak tahan dibuli oleh pelajar senior.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar Mei lalu selepas mangsa didakwa menghisap vape yang diperoleh daripada pelajar lain.





