
POLIS Johor menerima tujuh laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sejak hari penamaan calon Sabtu lalu dengan tiga daripadanya sudah dibuka kertas siasatan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada keseluruhan laporan diterima sehingga jam 11.59 malam tadi, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan.
Menurut beliau, satu lagi siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.
“Selain itu, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan perbuatan atau cubaan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut serta penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, polis menerima sebanyak 420 permohonan permit bagi aktiviti kempen sepanjang tempoh berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 414 permit telah diluluskan bagi membolehkan aktiviti kempen dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Ab Rahaman berkata, sebanyak 191 aktiviti politik turut berlangsung dan dipantau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan setiap program mematuhi syarat permit serta berjalan secara aman dan teratur.
“Secara keseluruhannya, situasi keselamatan sepanjang proses PRN Johor Ke-16 berada dalam keadaan aman dan terkawal serta tiada insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan setakat ini,” katanya.
Menurut beliau, PDRM Johor akan terus mempertingkat kawalan keselamatan dan pemantauan di semua kawasan pilihan raya bagi memastikan setiap proses pilihan raya berlangsung lancar dan selamat.
Pada masa sama, pihak polis turut mempergiat pemantauan di platform media sosial dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengesan penyebaran berita palsu, maklumat tidak sahih serta kandungan berunsur hasutan atau provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.






