Bekalan bahan api mencukupi hingga Ogos – Akmal Nasrullah

Krisis Bekalan Global

KERAJAAN memaklumkan bekalan bahan api mencukupi hingga Ogos ini, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurut beliau, bekalan beras negara termasuk stok penimbal pula mencukupi bagi tempoh antara lima hingga enam bulan.

Bagaimanapun katanya, bekalan makanan asas seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan mencukupi bagi tempoh sekurang-kurangnya sebulan.

“Justeru, kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan bahan api terus terjamin supaya aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, logistik, perniagaan dan sektor kritikal dapat terus beroperasi.

“Pemantauan harga barangan keperluan mengikut lokasi juga dilaksanakan melalui platform PriceCatcher KPDN yang memantau 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara dengan sokongan 850 pegawai pemantau harga.

“Penguatkuasaan terhadap pencatutan dan penyeludupan turut dipertingkat supaya tekanan global tidak dimanipulasi untuk menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, tumpuan kerajaan dalam usaha membina daya tahan jangka sederhana dan panjang bukan sekadar menangani krisis semasa, sebaliknya memastikan ekonomi negara lebih bersedia menghadapi cabaran global akan datang.

Krisis itu, katanya, memberi peluang kepada negara menstukturkan semula ekonomi dengan keutamaan dan strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan terus diperkukuh, terutama dalam produktiviti, sektor bernilai tinggi, keselamatan makanan, peralihan tenaga, pendigitalan serta pembangunan bakat.

Beliau berkata, dari sudut keselamatan makanan, RMK13 akan memperkukuh rantaian bekalan domestik, meningkatkan kapasiti agromakanan, mempelbagaikan sumber import dan mengurangkan kebergantungan input kritikal dari negara luar.

“Dari sudut tenaga, RMK13 akan meneruskan agenda peralihan, perluasan tenaga boleh baharu dan pengunaan sumber domestik lebih strategik.

“Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional terus diperkukuh dengan tumpuan kepada enam bidang utama,” katanya.

Mengenai sektor industri, katanya, pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional akan membantu memacu penciptaan lebih banyak produk serta perkhidmatan domestik bernilai tinggi.

“Ia antara lain meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing negara di peringkat antarabangsa menerusi peluasan jaringan perdagangan global, mempelbagaikan pelaburan dan pengukuhan ekosistem inovasi mapan.

“Semua langkah ini penting bagi memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada satu sumber, laluan atau pasaran sahaja,” katanya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img