Lelaki didakwa pukul nenek guna tukul besi hingga parah

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didakwa mencederakan neneknya sehingga parah dengan menggunakan tukul besi dalam kejadian di Kampung Kuala Abang, Dungun, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Nor Iman Abdullah, 24, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap neneknya, Gayah Omar, 79, menggunakan tukul besi yang jika digunakan sebagai senjata berkemungkinan menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lot 707, Kampung Baru Kuala Abang kira-kira jam 6.30 petang, 19 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohammad.

Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan warga emas berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala selepas dipukul cucunya yang dipercayai berang kerana dihalang keluar rumah.

Polis sebelum ini memaklumkan suspek ditahan bagi membantu siasatan dan tukul besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img