
MESYUARAT Pas Pusat hari ini tidak membuat sebarang ketetapan berhubung sama ada jentera parti itu akan membantu Bersatu atau tidak dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung.
Sebaliknya dalam kenyataan media oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat di Pejabat Pas Kuala Lumpur, beliau berkata parti itu membuat ketetapan berikut;
- Mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di Negeri Johor;
- Menggerakkan seluruh jentera Pas di 11 kerusi yang ditandingi;
- Menyantuni seramai mungkin pengundi dari segenap lapisan masyarakat dengan slogan “Jom Jaga Johor”;
- Menyeru pengundi tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan;
- Menggerakkan persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Kenyataan Abdul Hadi itu bermakna Pas tidak akan membantu Bersatu dalam kempen pilihan raya tersebut memandangkan Pas tidak lagi mempunyai kerjasama politik dengan parti yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Langkah Pas itu dilihat tepat bagi mengelakkan pengundi terus keliru berhubung kerjasama kedua-dua parti.
Selain itu, kenyataan Abdul Hadi juga boleh ditafsirkan Pas tidak kisah jika pengundi termasuk daripada parti tersebut memberikan undi kepada Bersatu asalkan bukan Pakatan Harapan.





