123,800 terima manfaat mySalam setakat bulan lalu

SEBANYAK 123,800 penerima golongan B40 sudah menerima manfaat menerusi Skim Perlindungan Kesihatan Sosial (mySalam) membabitkan pembayaran tuntutan berjumlah RM108 juta sehingga Mei lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi semasa itu menunjukkan skim perlindungan kesihatan percuma berkenaan terus dimanfaatkan secara aktif oleh kumpulan sasar yang berdepan risiko kesihatan dan penyakit kritikal.

Beliau berkata, kadar penggunaan skim itu turut menunjukkan trend peningkatan yang memberangsangkan apabila seramai 298,126 individu menerima manfaat dengan jumlah tuntutan RM276 juta pada tahun lalu, berbanding 190,725 penerima pada 2024.

“Sejak mula dilancarkan pada 2019 sehingga Disember 2025, seramai 1,880,069 individu sudah menerima manfaat dengan keseluruhan jumlah tuntutan dibayar mencecah RM1.42 bilion.

“Berdasarkan kriteria kelayakan semasa Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini, seramai 9,151,849 penerima STR layak mendapat manfaat di bawah mySalam,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta menyatakan tahap keberkesanan skim mySalam dalam membantu golongan B40 mendapatkan perlindungan kesihatan, khususnya bagi penyakit kritikal dan kos hospitalisasi.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, baki dana berjumlah RM490.9 juta setakat tahun lalu membuktikan skim berkenaan masih berupaya dan berkesan untuk meringankan beban kewangan golongan sasar yang terjejas akibat masalah kesihatan.

Katanya, skim yang menyediakan bantuan kewangan bagi 50 jenis penyakit kritikal tersenarai termasuk kanser, penyakit buah pinggang dan jantung itu pada asalnya hanya dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu dari 2019 hingga 2023.

“Namun, selaras dengan komitmen kerajaan untuk membantu golongan B40 yang berdepan risiko kesihatan, pelaksanaannya sudah dilanjutkan sehingga tahun 2026 melalui Belanjawan 2024 dan Belanjawan 2026,” katanya.

Untuk rekod, skim mySalam mula diperkenalkan pada 2019 dengan jumlah dana permulaan sebanyak RM2 bilion yang disumbangkan oleh Great Eastern Holding Limited (GEHL).

Ia menyasarkan perlindungan takaful percuma kepada penerima bantuan tunai kerajaan berumur antara 18 hingga 65 tahun serta pasangan mereka.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img