PDRM serbu stor simpanan minuman keras tiruan, tidak bercukai bernilai RM1.65 juta

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerusi operasi bersepadu ‘Op Taring Alpha 2’ merampas minuman keras tiruan dan tidak bercukai bernilai RM1.65 juta dalam dua serbuan berasingan di Kepong Baru dan Bandar Utama pada 25 Jun lalu.

Operasi membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, bersama Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi itu digerakkan hasil risikan terancang dan membawa kepada penahanan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan serta seorang warga Sri Lanka.

“Serbuan ini berjaya menumpaskan ahli sindiket yang menjadikan premis stor sebagai lokasi kegiatan penyimpanan, penjualan dan pengedaran minuman keras tiruan berjenama serta tidak bercukai Kastam.

“Kejayaan ini sekali gus berjaya mengekang kerugian hasil cukai negara serta memutuskan terus rangkaian sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan itu, Mohd Zaki berkata, kedua-dua suspek memainkan peranan penting dalam pergerakan logistik sindiket berkenaan di sekitar Lembah Klang.

“Hasil soal siasat awal, suspek pertama adalah warga tempatan mengaku bertindak sebagai penyelaras dan penjaga stor sejak Jun 2025 dengan upah RM3,000 sebulan. Dia menerima arahan secara langsung daripada seorang ketua sindiket tempatan yang dikenali dengan nama Sathiya.

“Suspek kedua, seorang warga Sri Lanka berumur 30 tahun pula mengaku mula bekerja sejak Januari lalu dengan upah RM2,500 sebulan sebagai penjaga stor dan penghantar bekalan kepada pembeli,” katanya.

Menurutnya, pihaknya merampas sejumlah 11,496 tin dan 9,737 botol minuman keras pelbagai jenama terkemuka di pasaran yang disyaki tiruan.

“Pasukan serbuan turut menyita empat buah kenderaan iaitu tiga lori dan sebuah van Toyota Hiace yang digunakan untuk tujuan pengedaran, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM1,656,140.

“Semua suspek dan barang rampasan kini telah diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah atau palsu, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 bagi setiap barangan jika disabitkan kesalahan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img