Pep Guardiola bergurau mahu belanja Alex Ferguson dan Arsene Wenger makan malam selepas mencapai 250 kemenangan liga bersama satu kelab.
Guardiola mencatatkan kemenangan ke-250 dalam Liga Perdana Inggeris apabila Manchester City menewaskan Brentford 1-0 pada Ahad. Gol jaringan Erling Haaland pada minit kesembilan menjadi pemisah, ketika Guardiola mencapai pencapaian itu dalam perlawanan ke-349 (50 seri, 49 kalah).
Beliau kini merupakan pengurus terpantas yang mencapai 250 kemenangan dalam saingan liga utama England.
Legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson, memerlukan 404 perlawanan untuk sampai ke tahap itu, manakala ikon Arsenal, Arsène Wenger, mengambil 423 perlawanan.
Pengurus semasa Everton, David Moyes, pula memerlukan 645 perlawanan.
“Saya akan jemput mereka semua makan malam,” seloroh Guardiola apabila statistik itu dikongsikan oleh Sky Sports.
‘’Saya rasa satu penghormatan dapat duduk semeja dengan mereka. Ini sudah 10 musim – memang banyak perlawanan. Sudah tentu, 250 kemenangan itu satu jumlah yang besar. Mungkin saya capai lebih cepat sebab kami menang banyak. Saya pun tak tahu sebenarnya, tapi ia satu perkara yang baik. Nanti saya telefon mereka untuk makan malam – saya akan beritahu awak,’’ katanya
City kini telah menjaringkan lebih banyak gol Liga Perdana dalam tahun 2025 (55) berbanding mana-mana pasukan lain. Mereka juga kini memiliki jumlah kemenangan terbanyak (16, setara dengan Liverpool) dalam kalendar tahun ini.
Namun, dalam perlawanan di Stadium Komuniti Gtech itu, City melepaskan beberapa peluang untuk menambah jaringan, menjadikan penamat perlawanan agak mendebarkan.
Guardiola berkata; “Separuh masa pertama sangat cemerlang – kami hampir berada di tahap terbaik dalam banyak aspek. Masalahnya bila kita ada banyak peluang tapi tak jaringkan gol, ditambah pula penjaga gol mereka hebat apabila berupaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, maka kedudukan 1-0 memang berisiko di separuh masa kedua. Musim lalu di sini, kami gagal menang. Kali ini, kami berjaya.”


