Kerajaan tumpu kembalikan hasil kepada rakyat, kurangkan tekanan kos sara hidup

KERAJAAN akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan fiskal yang berhemah dalam Belanjawan 2027 supaya dapat mengembalikan hasil kepada rakyat bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan hasil daripada penambahbaikan tadbir urus dan usaha membendung ketirisan akan disalurkan semula kepada rakyat selaras keperluan memperkukuh kedudukan kewangan negara tanpa menjejaskan bantuan kepada kumpulan yang memerlukan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun kadar inflasi Malaysia sekitar dua peratus, iaitu antara yang terendah di dunia, tekanan kos sara hidup masih dirasai rakyat berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tertentu.

“Apabila orang bertanya mengapa perkara ini tidak dapat dilakukan dua tahun lepas? Kita perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu. Kita perlu menangani hutang, berjimat dan menentukan keutamaan,” katanya dalam Wawancara Khas Belanjawan MADANI 2027 yang disiarkan RTM malam ini.

Beliau berkata kerajaan juga perlu mengimbangi keperluan mengurangkan hutang dan mengawal perbelanjaan dengan keperluan meningkatkan peruntukan bagi sektor kritikal seperti pertahanan, perumahan anggota tentera dan polis serta kemudahan sekolah.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan memberikan nilai ekonomi dan sosial yang lebih besar kepada rakyat.

Anwar berkata ruang fiskal kerajaan kini bertambah baik hasil pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin, namun penjimatan tersebut perlu dilindungi daripada kembali terhakis akibat ketirisan dan pembaziran.

Beliau berkata kedudukan kewangan yang lebih kukuh membolehkan kerajaan menyediakan bantuan seperti kasut sukan untuk murid sekolah, selain elaun dan sokongan pendapatan minimum kepada pekebun kecil getah serta pesawah.

Perdana Menteri berkata strategi ekonomi kerajaan turut memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI), namun pembangunan tersebut perlu disertai langkah meningkatkan pendapatan dan produktiviti rakyat.

Katanya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan gaji dan pengurangan jurang pendapatan, bukan hanya diukur melalui kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tegasnya, kerajaan juga akan terus mengambil kira keperluan pembangunan sosial dan budaya dalam perancangan ekonomi, termasuk latihan pendidikan Islam serta bantuan kepada masyarakat bukan Islam bagi penyelenggaraan rumah ibadat.

Beliau mengakui Belanjawan 2027 tidak mampu menyelesaikan semua masalah ekonomi, namun menegaskan dasar fiskal kerajaan akan memberi keutamaan kepada pengurangan beban kumpulan yang paling terkesan oleh tekanan kewangan.

Selain itu, Anwar menjelaskan sebahagian harga barangan dipengaruhi faktor luaran dan pasaran global, contohnya kos baja fosfat yang diimport melalui Selat Hormuz susulan krisis Asia Barat.

Menurut beliau, perubahan harga komoditi, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa boleh memberi kesan langsung kepada harga domestik sekali gus mengehadkan keupayaan kerajaan untuk mengawal semua harga secara langsung.

Bagaimanapun, kerajaan masih boleh mengurangkan tekanan harga melalui langkah memperkemas rantaian bekalan, memperluas pasar tani dan meningkatkan penjualan barangan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Justeru, Anwar berkata bantuan dan kemudahan kepada rakyat akan disediakan berdasarkan kemampuan kewangan negara, dengan pendekatan lebih bersasar bagi memastikan sumber awam tidak dibazirkan.

Beliau turut memberikan contoh keputusan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat sebagai langkah melindungi pendapatan boleh guna isi rumah.

Beliau berkata harga minyak yang digunakan dalam unjuran awal kerajaan ialah AS$70 setong, namun meningkat kepada kira-kira AS$110 setong, sedangkan harga petrol RON95 kekal RM1.99 seliter.

Anwar berkata keputusan itu mencerminkan keperluan kerajaan mengimbangi tekanan fiskal akibat subsidi dengan keperluan mengekalkan kestabilan kos pengangkutan dan kuasa beli rakyat.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan dasar berdasarkan kemampuan fiskal negara, dengan tumpuan kepada pengukuhan ekonomi, peningkatan produktiviti, pengurangan ketirisan dan perlindungan terhadap golongan yang paling terkesan oleh tekanan kos sara hidup.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here