ORANG ramai diingatkan supaya tidak membantu menyebarkan kandungan media sosial berunsur penghinaan, provokasi atau hasutan berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sebaliknya segera melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata tindakan berkongsi semula kandungan sedemikian hanya akan memperluas penyebarannya termasuk meningkatkan jumlah tontonan di media sosial.
“Jangan bantu untuk sebarkan, jangan reshare, jangan bagi views… terus buat laporan polis ataupun aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
“Kedua-dua badan yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita 2026 bersama-sama komuniti Paya Rumput@ Tangga Batu di Projek Perumahan Rakyat Krubong di Melaka hari ini.
Program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) sebagai rakan strategik.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas hantaran pempengaruh media sosial Lim Sian See yang mempersoal penggunaan perkataan “lighad” dalam teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat semalam.
Dalam hantaran itu, Lim nama sebenarnya Datuk Eric Se-To mempersoal perkataan berkenaan sebelum mengaitkannya secara sinis dengan perkataan lain.
Perkataan “lighad” yang digunakan itu merujuk kepada esok atau masa hadapan, dipetik daripada Surah al-Hasyr ayat 18.
Fahmi berkata polis dan MCMC sedang mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan dan merakam percakapan manakala sebarang tindakan selanjutnya bergantung kepada hasil siasatan serta pertimbangan pihak pendakwaan.
“Kita telah mengenal pasti individu yang telah membuat penghinaan terhadap agama Islam semalam, yang memperlekeh perkataan ‘lighad’… saya difahamkan ada sejumlah laporan polis yang telah dibuat… sekurang-kurangnya satu daripada laporan polis itu telah dimaklumkan kepada saya,” katanya.





