PERGERAKAN Pemuda UMNO menyifatkan tindakan bekas Pegawai Kanan Bahagian Komunikasi Barisan Nasional (BN), Eric See-To sebagai melampau kerana dianggap mempersenda ayat al-Quran.
Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh menyifatkan tindakan See-To sebagai “bangang” dan berpendapat perselisihan politik tidak wajar melampau sehingga ke tahap itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda UMNO menuntut See-To memohon maaf secara terbuka atas tindakannya itu.
“Apalah bangang sangat ayat-ayat al-Quran nak dipermainkan. Kamu nak berpolitik, itu kamu punya pasal tetapi apabila ayat al-Quran dipelekehkan sebegini rupa, maka ia adalah tindakan yang melampau,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Bagaimanapun pendirian tegas Pemuda UMNO itu seolah-olah tidak dikongsi oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Senator Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mempertahankan See-To dengan menyifatkan ia salah faham akibat diperangkap ‘ceplos’ (cyber trooper PH).
‘’Eric, anda tidak salah. Ia hanya salah faham akibat perangkap ceplos..teruskan memburu,’’ katanya.
Bagaimanapun pendirian Nik Abduh itu menimbulkan persoalan kerana See-To membuat komen iaitu “Yang saya tengok ialah ada lighad yang saya tak tahu langsung apa (maksudnya) itu. Tapi tak ada ‘liwat’ pula.”
Perkataan lighad terkandung dalam teks pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau memetik Surah Hashr ayat 18 yang mengandungi perkataan lighad
Perdana Menteri menjelaskan ‘’Ungkapan lighad, yakni merujuk kepada hari esok membawa suatu tuntutan besar dan mendalam. Malah, kita dituntut memikir serta menghamparkan asas-asas kukuh untuk masa depan.’’
Dalam reaksinya, See-To berkata, beliau tidak menghina al-Quran sebaliknya komen tersebut merujuk kepada istilah lighad yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian sebagai antara perkataan unik dalam ucapan Anwar semalam.
See-To berkata, “Dalam konteks itu, saya mengulas penggunaan perkataan, bukannya memperlekeh ayat suci. Sesuatu perkataan (dari) bahasa Arab tidak menjadi istilah khusus agama semata-mata kerana perkataan itu turut digunakan dalam al-Quran,” katanya.
Apa yang menjadi persoalan kepada netizen, adakah See-To tidak merujuk teks ucapan Anwar sebelum memberi komen berkenaan?
Mengulas lanjut tindakan See-To, Akmal berkata pihaknya akan mengambil tindakan lanjut atas apa yang berlaku.
“Kami desak untuk kamu mohon maaf secara terbuka dan laporan polis juga akan dibuat atas tindakan bodoh kamu ini!” katanya.





