![]()
SELEPAS penamaan calon, orang tak tanya berapa PN boleh menang dan berapa PH boleh menang, yang orang dok cakap BN susah nak pertahan 40 kerusi apatah lagi nak kekal dua pertiga.
Ada sumber bisik-bisik kat penulis, setakat hari ini, BN mungkin menang dalam 34-36 kerusi sahaja. Khabarnya, momentum sokongan kepada PH semakin meningkat. Jadi ada yang kata PRN kali ini cukup sengit.
Antara faktor yang akan merencatkan impian BN untuk mempertahankan 40 kerusi apatah lagi mahu tambah kerusi menang ialah soal calon dan peratusan keluar mengundi. Sebelum penamaan calon, ramai kata BN boleh menang besar tetapi bila nama calon diumumkan, ada sesetengah calon itu, sebut namapun dah kalah!
Tapi nak buat macam mana, pandangan itu datang daripada pengundi yang mengundi. Ada YB yang dah bagus kena gugur atau ditukar bertanding kat tempat lain. Mungkin BN tak dapat cari calon yang ada faktor WALI kot…. Winnable (boleh menang), Acceptable (boleh diterima), Likeable (disukai), Integrity (integriti).
Namun penulis terkejut sejak dulu memang BN macam tu…janji akan hantar calon terbaik, calon berwibawa tetapi bila umum…ramai yang kecewa.
Satu lagi yang penulis anggap ancaman utama kepada BN ialah jika peratusan keluar mengundi tinggi. Pada tahun 2018 jumlah keluar mengundi 85.51 peratus (1,817,999 orang) dan PH menang 36 kerusi manakala BN (19 kerusi).
Pada 2022, pengundi berdaftar ialah 2,597.742 orang. Tetapi ketika PRN yang keluar mengundi 1,426,573 orang atau 54.72 peratus. BN menang 40 kerusi, PH (12 kerusi) dan Perikatan Nasional (3 kerusi).
Ketika itu antara alasan diberikan ramai pengundi tidak mengundi kerana masih bimbang dengan ancaman pandemik Covid-19.
Pada tahun ini, jumlah pengundi berdaftar ialah 2,727,926 undi bertambah 130,184 orang. Penulis diberitahu, PH melakukan gerakan agresif untuk memastikan penyokong pakatan itu keluar habis-habisan pada hari mengundi malah yang bekerja di Singapura pun akan diminta menunaikan tanggungjawab mereka.
Ada lagi faktor lain yang boleh menjejaskan undi BN tapi biarlah penulis simpan dulu. Yang penting BN jangan dok teruja nak tambah kerusi menang, dapat pertahan apa yang ada pun dah cukup bernasib baik.
Siapa tikam siapa?
NAMPAKNYA ramai ‘kepanasan’ apabila Pas mengeluarkan arahan supaya penyokong dan pengundinya mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Walaupun arahan melalui Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man adalah jelas merujuk kepada 14 kawasan yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Harapan (PH), namun masih ada yang ‘keliru’.
Ia jelas apabila seorang pemimpin PH menyatakan tindakan Pas itu menguntungkan pakatan berkenaan dan menunjukkan sikap ‘menikam belakang kawan sendiri’.
Persoalannya Pas ‘tikam belakang siapa’? Pas tidak mengaitkan kerusi yang ditandingi oleh Bersatu. Pas hanya menumpukan kepada kerusi yang menyaksikan pertembungan antara BN-PH sahaja.
Malah dalam mesyuarat khas Pas semalam, tiada ketetapan dibuat berkaitan dengan Bersatu sama ada Pas akan membantu atau tidak jentera Bersatu pada PRN tersebut. Jadi untuk mentafsirkan tindakan Pas bagaikan ‘menikam kawan sendiri’ adalah tidak tepat. Yang tafsirkan macam tu sebenarnya ‘salah tikam’.
Tetapi tikam-menikam paling bahaya apabila dalam parti sendiri, selepas tidak dipilih sebagai calon atau berebut kawasab untuk menjadi calon…Betul tak?






